Assalamualaikum. Saya perhatikan kebanyakan disurau dan masjid, selepas solat fardhu imam/orang awam mesti berubah tempat untuk solat sunat bakdiyah (sunat selepas fardhu). Mengapa misalnya mereka tidak solat sahaja ditempat dia solat fardhu tadi? Apakah memang ada hadis yang menjelaskan isu ini ustaz? Harap ustaz boleh jelaskan hukumnya.
Wa’alaikumussalam.
Sunat sunat sangat dituntut dalam agama, lebih-lebih lagi solat sunat rawatib. Solat sunat rawatib ialah solat sunat yang didirikan sebelum da sesudah solat fardhu bagi menampung kekurangan solat yang didirikan. Solat sunat rawatib sebelum solat fardhu ialah solat sunat qabliyah, manakala solat sunat selepas solat fardhu ialah solat sunat bakdiyah.
HUKUM BERALIH TEMPAT BAGI SOLAT SUNAT
Hukum berpindah atau beralih tempat bagi mendirikan solat sunat adalah sunat. Hal ini kerana kita mahu memperbanyakkan tempat sujud. Firman Allah Taala:
Maksudnya: Pada hari itu, bumi menyampaikan beritanya.
❊ Surah Al-Zalzalah, ayat 4 ❊
Ayat ini membawa maksud bahawa bumi akan menceritakan apa yang manusia lakukan di atasnya. Maka kita sangat digalakkan untuk memperbanyakkan tempat sujud.
Hukum sunat ini juga turut dikuatkan dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang sahih. Dalam kitab Sahih Muslim, terdapat riwayat yang menyebut pesanan Muawiyah r.a. kepada al-Sa’ib Ibn Ukh Namir:
Maksudnya: “Jika engkau solat Jumaat, maka janganlah engkau sambung dengan suatu solat (nafilah) sehingga engkau berkata-kata (dengan seseorang) atau engkau keluar, kerana Rasulullah s.a.w. telah menyuruh kami melakukan hal itu, yakni tidak disambung solat dengan solat sehingga seseorang itu berkata-kata atau keluar.”
❊ Hadith riwayat Muslim, hadith no. 883 ❊
LEBIH AFDHAL BERPINDAH TEMPAT UNTUK SOLAT SUNAT
Imam Al-Nawawi dalam mengulas hikmah mengapa digalakkan untuk seseorang itu beralih kedudukan ke tempat yang lain untuk mendirikan solat sunat menyatakan:
Maksudnya: Sekiranya seseorang itu tidak pulang ke rumahnya dan hendak menunaikan solat sunat di masjid, maka disunatkan kepadanya untuk beralih sedikit dari tempatnya (yang telah dilakukan solat padanya sebelum ini) untuk memperbanyakkan tempat sujudnya.
Kemudian kata beliau lagi:
Maksudnya: Sekiranya seseorang itu tidak beralih ke tempat yang lain, maka dia dituntut untuk memisahkan solat fardhu dengan solat sunat dengan perkataan kepada manusia.
❊ Rujuk Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi, 3/491 ❊
Imam al-Nawawi dalam kitabnya berkata:
“Ini adalah dalil pada mana disebutkan oleh fuqaha’ al-Syafieyyah bahawa sebelum ditunaikan sunat rawatib dan selainnya adalah disunatkan untuk beralih daripada tempat ditunaikan solat fardu ke tempat yang lain, dan yang paling afdhal ialah beralih menunaikan solat di rumah, dan melainkan tempat lain yang dimaksudkan itu adalah masjid atau selain masjid agar supaya diperbanyakkan tempat-tempat sujud. Ini kerana untuk memisahkan antara pelaksanaan solat fardu dengan solat sunat.”
Imam al-Nawawi juga menyebut dibolehkan dengan hanya berbicara kerana ia menunjukkan pemisahan antara kedua-dua solat fardu dan sunat. Akan tetapi beralih atau berpindah tempat adalah lebih afdhal sepertimana yang sebutkan sebelum ini.
Imam al-Ramli dalam Nihayah al-Muhtaj (1/552) berkata:
“Dan adalah disunatkan untuk beralih tempat bagi menunaikan solat sunat atau fardu daripada tempat yang telah ditunaikan solat fardu atau solat sunat ke tempat yang lain agar diperbanyakkan tempat-tempat sujud. Ini kerana banyaknya tempat sujud akan menjadi saksi (di akhirat kelak). Dan agar untuk menghidupkan tanah (tempat sujud) dengan ibadah. Maka sekiranya tidak berpindah ke tempat yang lain maka boleh dilakukan dengan bercakap atau berbicara sesama manusia.”
KESIMPULAN
Kita disunatkan untuk berpindah ke tempat lain untuk mendirikan solat sunat selepas selesainya mendirikan solat fardhu untuk memperbanyakkan lagi tempat sujud. Solat sunat ini boleh dibuat di masjid ataupun di rumah. Namun, tidaklah salah untuk mendirikan solat sunat di tempat yang sama.
Semoga kita dapat memperbanyakkan lagi tempat sujud kerana ianya akan menjadi saksi bagi ibadah kita di hari akhirat, amin.
Wallahualam.